Kurang yakin punca individu bekerja sendiri belum mencarum SKSPS - Utusan Malaysia

Kurang yakin punca individu bekerja sendiri belum mencarum SKSPS

NUR Mohammad Bakhtir (tiga dari kanan) bersama Seh Yong (tengah) memberi penerangan tentang manfaat caruman SKSPS kepada peniaga sayur di Pasar Besar Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tidak yakin merupakan antara faktor masih ramai individu bekerja sendiri belum membuat caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang diperkenalkan.

Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Nur Mohammad Bakhtir Mohamad Akhir  berkata, berdasarkan pemerhatian dan advokasi yang dijalankan kebanyakan individu bekerja sendiri ini tidak mempunyai masalah dari segi kewangan untuk mencarum.

“Caruman ini bukan suatu paksaan, mereka tahu perlindungan yang disediakan dalam sektor formal, tetapi tidak yakin dengan manfaat yang mereka boleh dapat hasil mencarum.

“Pendekatan daripada segi individu agak sukar dan pihak Perkeso memerlukan sokongan dari persatuan untuk mendekati golongan ini,” katanya pada sidang akhbar di sini selepas Program Jelajah Prihagin Perkeso bagi menyantuni orang ramai yang bekerja sendiri di Pasar Besar Seremban.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chew Seh Yong.

Menurut Nur Mohammad Bakhtir, statistik dari tahun 2021 sehingga Februari tahun lalu menunjukkan, seramai 38,950 orang bekerja sendiri di bawah 20 sektor telah mendaftar sebagai pencarum.

“Sektor perkhidmatan sokongan paling tinggi iaitu seramai 5,373 orang diikuti sektor pengangkutan barangan dan makanan iaitu 4,083 orang,” katanya.

Beliau berkata, SKSPS diwujudkan pada tahun 2017 dan telah diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri bermula 1 Januari 2020 termasuk pengangkutan, pertanian, penternakan dan penjaja.

Nur Mohammad Bakhtir justeru berkata, pihak Perkeso mengharapkan kerjasama persatuan daripada semua sektor pekerjaan terbabit untuk memberi galakan kepada semua pekerja untuk menyertai SKSPS. 

Sementara itu. seorang peniaga sayur, Azman Baharin, 62, berkata, dia yang berniaga di Pasar Besar Besar Seremban sejak 13 tahun lalu juga telah membuat caruman SKSPS.

“Saya tertarik dengan inisiatif baharu di mana orang bekerja sendiri hanya perlu membayar sebanyak 20 peratus (RM46.60) sahaja daripada kadar caruman RM232.80 di bawah Pelan Caruman Dua,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN