Korban keempat banjir Johor - Utusan Malaysia

Korban keempat banjir Johor

KAMARUL ZAMAN MAMAT melihat keadaan dilanda banjir di IPD Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Seorang wanita warga emas  menjadi korban keempat banjir di Johor selepas ditemukan lemas dipercayai tergelincir ke dalam longkang di Batu Anam, di sini petang semalam.

Mangsa, A. Fatimah, 69, yang sebelum ini dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) ditemukan oleh jirannya yang menyedari kehilangan warga emas itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian itu sekali gus merekodkan empat kematian akibat banjir di negeri itu, iaitu satu di daerah Kluang dan tiga di Segamat.

“Mangsa telah pun ditempatkan di PPS, namun warga emas ini didapati tiada di PPS tersebut dan jirannya telah keluar mencari dan dijumpai meninggal dunia di longkang,” katanya di Ibu pejabat Polis (IPD) Segamat di sini.

Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang berkenaan sebelum ditemukan lemas.

Walau bagaimanapun, pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut tentang insiden itu dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat.

“Mangsa mungkin terjatuh dan siasatan pihak polis akan diteruskan termasuk mengenal pasti kenapa mangsa ini keluar dari PPS.

“Jadi, saya harap semua mangsa yang ada masalah ataupun mereka yang terkepung oleh air dan sebagainya untuk segera memaklumkan kepada pihak berkuasa kerana mana-mana agensi pun akan berusaha selamatkan mereka dengan segera,” tambahnya.

Dalam perkembangan yang sama, lebih 4,000 anggota polis dikerahkan bagi membantu operasi banjir di Johor. 

Pihak polis turut menerima bantuan daripada Pasukan Gerakan Am dan agensi keselamatan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.