Kerajaan terima permohonan semula pemaju Melaka Gateway

Kerajaan terima permohonan semula pemaju Melaka Gateway

ANTHONY Loke Siew Fook bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka Ke-23 di Taman Pandan Mawar, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pembinaan terminal pelayaran bagi projek Melaka Gateway di Pulau Melaka di sini berkemungkinan akan dihidupkan semula, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya telah menerima permohonan syarikat pemaju, KAJ Sdn. Bhd. untuk mendapatkan kelulusan semula projek tersebut yang telah dibatalkan sebelum ini.

Jelasnya, pegawai Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) telah diarah mengadakan rundingan awal dengan kerajaan negeri bagi mencari kaedah menghidupkan semula projek pembinaan terminal pelayaran yang bernilai berbilion ringgit itu.

“Kelulusan projek penambakan laut Melaka Gateway telah dibatalkan sebelum ini, jadi ia kini dalam proses untuk mendapat kelulusan semula oleh pihak pemaju.

“Bagi pihak kementerian, kita tidak ada masalah untuk meluluskannya namun beberapa masalah dalaman antara pihak kerajaan negeri dan pemaju harus diselesaikan terlebih dahulu.

“Saya melihat jika projek ini tidak diteruskan walaupun projek penambakan laut sudah hampir siap, ia akan merugikan Melaka daripada segi ekonomi dan sektor pelancongan,” katanya dalam sidang
akhbar selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka Ke-23 di sini, hari ini.

Tambah Anthony, beliau akan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Melaka dan perkara tersebut akan dibincangkan lebih lanjut dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

“Saya akan dapatkan pendirian kerajaan negeri berhubung perkara ini. Saya mahu ambil pendekatan pragmatik kerana projek itu sudah separuh siap, kalau tidak dibenarkan ia akan merugikan ekonomi Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony berkata, kerajaan Persekutuan akan memperkenalkan Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) menerusi program My Bus Melaka, khusus untuk memperbaiki perkhidmatan berkenaan di negeri ini.

Jelasnya, ia bakal dibiayai sepenuhnya kerajaan melalui pelantikan syarikat operator untuk menguruskan perkhidmatan tanpa perlu menanggung kerugian operasi akibat kekurangan penumpang.

“Program ini akan diperkenalkan di Melaka selewat-lewatnya tahun ini. Selain Melaka, turut terlibat adalah Sabah dan Sarawak kerana perkara ini telah dibentangkan dalam Belanjawan 2023,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya