Kerajaan Perpaduan tidak stabil - Mohd. Amar

Kerajaan Perpaduan tidak stabil – Mohd. Amar

MOHD. Amar Nik Abdullah.-UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas menganggap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak stabil berikutan wujudnya kepincangan, pergolakan dan rasa kurang puas hati dalam kalangan parti-parti yang membentuknya kerjasama itu.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, situasi itu dapat dilihat semasa perbahasan di Parlimen apabila Dap serta beberapa wakil rakyat dari Gabungan Parti Sabah (GPS) seolah-olah tidak sealiran dengan beberapa perkara yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini.

“Melalui pengalaman Pas sendiri, Dap boleh dikatakan tidak tahu menghormati orang lain. Mereka (Dap) sepatutnya tahu setiap parti mempunyai perjuangan masing-masing. Bila kita berkawan, kita sepatutnya menghormati rakan-rakan kita.

“Tetapi itulah perangai dan masalah utama Dap. Itu juga faktor utama yang menyebabkan Pas bermasalah dengan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu memberitahu, secara peribadi beliau menganggap Kerajaan Perpaduan tiada halatuju.

Katanya, sepatutnya selepas 100 hari mereka sudah mempunyai halatuju jelas yang dapat dilihat oleh seluruh rakyat, namun tidak berlaku sehingga kini malahan semua retorik diucapkan Anwar sebelum ini tidak terlaksana.

“Ia satu isu besar dan saya percaya, ramai pihak dari pelbagai latar belakang mempunyai pandangan serupa. Paling utama isu rasuah bila Timbalan Perdana Menteri sendiri dilantik individu yang menghadapi berpuluh pertuduhan mahkamah berkait kesalahan rasuah.

“Perkara itu sendiri sudah merosakkan retorik beliau (Anwar). Keduanya, parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan mahu ikut kepala masing-masing sahaja terutama Dap dan ia menjadi masalah kepada kerajaan,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu mendakwa, di dalam PKR sendiri terdapat pergolakan dan sungguhpun ia tidak diceritakan secara umum, namun terdapat maklumat mengenai perkara itu.

“Kerana itu kita berpandangan Kerajaan Perpaduan ini tidak akan bertahan lama. Ia berkaitan pergolakan dalaman mereka sendiri dan bukan khianat atau perancangan pihak luar,” katanya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.