Kerajaan akan tumbang sendiri - Wan Saiful

Kerajaan akan tumbang sendiri – Wan Saiful

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan ramalan kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi bukan sesuatu yang pelik kerana situasi politik sekarang dianggap tidak stabil.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, sebelum ini wujud pihak yang mencetuskan ketidakstabilan politik sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong ada pesan untuk kita menjaga kestabilan negara, tetapi dari segi sejarahnya ada pihak yang menyusun rancangan sehingga memaksa Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Selepas itu menyebabkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa memanggil PRU15, jadi, saya rasa tidak pelik jika situasi sekarang ini.

“Kerajaan sekarang jadi tidak stabil dan ia akan pecah dari dalam. Jadi, saya rasa PN tidak perlu melakukan apa-apa, sebab punca masalahnya di peringkat kerajaan sendiri.

“Di sudut lain, tanpa PN tumbangkan kerajaan pun, kerajaan ini akan tumbang dengan sendirinya dalam masa yang saya tidak pasti, tetapi tanda-tandanya sudah ada,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini semalam.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang menjangka bahawa kerajaan akan tumbang tidak lama lagi.

Ketika ditemui pemberita di Parlimen semalam, Abdul Hadi Awang berpandangan usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar ‘dalam masa terdekat’ adalah sesuatu yang dibolehkan kerana negara mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.

Ahli Parlimen Marang itu juga mempertahankan beliau tidak melangkaui titah Seri Paduka yang mahukan sebuah kerajaan stabil kerana ia bukan sesuatu yang ‘mengikat’ dan menghalang perubahan, selain berhak membuat perancangan.

“Itu (kenyataan saya sebelum ini) adalah satu kenyataan politik yang biasa berlaku dalam politik (seperti) undi tidak percaya, dapatkan akuan bersumpah, menyokong kerajaan berpaling tadah. Biasa berlakulah.

“Dan kita melihat ada tanda-tanda menunjukkan di dalam kerajaan campuran yang ada ini perasaan tidak puas hati sesama parti komponen dia sendiri. Itu ada berlaku, sebab itu sesuatu yang tidak mustahil berlaku (kerajaan tumbang).

“Kenyataan Agong satu kenyataan yang tidak jadi kata putus yang menghalang untuk perubahan dalam negara demokrasi. Mengikut Raja Berperlembagaan, Raja di bawah Perlembagaan. Perlembagaan kita masih menjunjung demokrasi,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, PN akan terus menjadi pembangkang untuk sepenggal walaupun mendakwa wujud perpecahan dalam kerajaan sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×