KOTA BHARU: Kawasan tanaman padi di negeri ini berkurang sebanyak 29 peratus ekoran ditukar status bagi tujuan pembangunan untuk penduduk negeri itu.
Berdasarkan kepada rekod Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), kawasan sawah di negeri itu kini berbaki sebanyak 10,927 hektar berbanding 37,760 hektar ketika agensi berkenaan mula ditubuhkan pada 1972.
Jumlah kekurangan tersebut bersamaan kira-kira keluasan 2,000 buah Stadium Sultan Muhammad IV yang berdiri megah di tengah-tengah pusat bandar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Besar Kada, Mohd. Faizul Mustafa berkata, kekurangan sawah tersebut perpunca daripada beberapa faktor iaitu akibat pembinaan jalan raya,landasan kereta api, perumahan, bandar dan lain-lain.
Menurut beliau, bagi mengatasi masalah tersebut, agensi itu merangka satu kertas cadangan untuk dibentangkan kepada kerajaan negeri dan fokus Kada ketika ini ialah kepada pembangunan kawasan sawah yang terbiar.
“Langkah ini bagi membolehkan keseluruhan kawasan itu dimajukan dengan tanaman padi bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi,” katanya.
MEROSOT
Menyentuh kualiti padi, Mohd. Faizul berkata, hasil padi di negeri ini turut merosot disebabkan beberapa fakor seperti air Sungai Kelantan cetek dan berlumpur.
“Setiap kali musim kemarau pam milik agensi itu gagal berfungsi dengan baik disebabkan paras air sungai yang cetek. Merumitkan lagi apabila kualiti air yang berlumpur turut memberikan kesan sekali gus mengganggu kerja-kerja penanaman padi oleh petani,” kata beliau.
Kata beliau, dengan baki keluasan sawah yang ada, purata penghasilan padi di bawah selian Kada susut 3.7 peratus dalam tempoh lima tahun sejak 2017.
“Purata pengeluaran padi di kawasan Kada antara 4.0 hingga 4.5 metrik tan untuk keluasan satu hektar,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Faizul berkata, infrastruktur tali air yang sudah lama dan melebihi 40 tahun serta kurang sempurna turut menjejaskan hasil pengeluaran
“Perubahan cuaca semasa padi berusia 75-85 hari turut memberikan kesan kepada hasil tanaman,” ujarnya.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, hasil padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merosot kira-kira 150,000 tan metrik setahun yang dibimbangi jika berterusan akan menjejaskan bekalan beras negara.
PESAWAH
Kemerosotan berpunca daripada lima masalah utama yang menghantui para pesawah di Kedah dan Perlis terutama kelewatan penghantaran benih padi dan penghantaran baja yang tidak ikut jadual penanaman.
Sementara itu, MADA dalam kenyataan semalam berkata, perubahan iklim di kawasan MADA Kedah dan Perlis sejak lima tahun lalu, menjejaskan pengeluaran hasil padi melibatkan hampir 20,000 hektar sawah daripada keseluruhan 130,282 hektar sawah di kedua-dua negeri itu.
MADA berkata, sejak 2018 hingga 2022, sebanyak 15 fenomena bencana alam seperti banjir, ribut, kemarau serta tanah jerlus telah mengganggu ekosistem penghasilan padi dan menjejaskan pengeluarannya.
Lebih memburukkan keadaan, MADA berkata, perubahan iklim turut menyebabkan pola hujan bulanan tidak menentu serta intensiti turunan yang lebat pada masa yang singkat.
Menurutnya, keadaan itu memberi implikasi berlakunya kejadian banjir yang lebih kerap dan kejadian tanah jerlus.
Pada masa sama, MADA berkata, masalah banjir mendorong berlaku kelewatan penanaman padi sehingga menjejaskan pengeluaran hasil di 19,672 hektar sawah, sekali gus menganggu pengurusan aktiviti amalan agronomi yang disyorkan mulai daripada peringkat penyediaan tanah sehingga penuaian.- UTUSAN










