JOHOR BAHRU: Johor berhasrat membuka pusat pemprosesan visa pengembara dari China bagi memudahkan urusan mereka, sekali gus meningkatkan kemasukan pelancong dari negara berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, pihaknya menyuarakan perkara itu kepada kerajaan Persekutuan.
“Kami sedang berbincang dengan Kedutaan China untuk membuka sebuah pusat pemprosesan visa di sini bagi memudahkan orang ramai melakukan perjalanan antara Johor dan China.
“Kami juga membuat permintaan ke peringkat Persekutuan kerana ia bukan di bawah bidang kuasa negeri,” katanya ketika mengalu-alukan kedatangan 100 pelancong dari Guangzhou di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini semalam.
Menurut beliau, pada masa ini setiap minggu terdapat tiga penerbangan antara Guangzhou dan Johor dan kekerapan penerbangan itu mungkin akan ditambah.
“Hari ini kami alu-alukan semula penerbangan pertama penumpang dari China dan berharap ini dapat membantu meningkatkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.
“Selain itu, kerajaan negeri juga sedang mengkaji untuk mengadakan penerbangan terus dari wilayah lain di China seperti Beijing,” katanya. – UTUSAN










