KUALA LUMPUR: Pelakon, Wafariena Roslan, 27, meluahkan rasa kesal apabila ada individu tidak bertanggungjawab tergamak menyamar sebagai ibunya, Suzana Hamad, 60, dan meminta sejumlah wang daripada senarai nombor yang diambil menerusi aplikasi Telegram.
Menurut Wafariena, individu terbabit hampir berupaya memperdaya beberapa kenalan ibunya namun sempat ditangani oleh pelakon tersebut menerusi satu makluman yang dimuat naik di Instagram, semalam.
“Ibu ada hubungi saya setelah bimbang semakin ramai kenalan bertanyakan tentang ‘tindakannya’ meminta wang. Bukan sedikit wang yang diminta oleh si penyamar, cecah ribuan ringgit juga.
“Orang yang tidak tahu, mungkin akan percaya yang ibu sedang dalam keadaan terdesak perlukan duit. Tetapi, saya ini anak dia, masih bekerja dan dah jadi ketua keluarga menanggung keluarga.
“Nanti orang yang tak tahu cerita, fikir saya pula yang tak bagi duit pada ibu. Tapi tak pedulilah orang nak cakap apa. Saya nak bendung perkara ini daripada terus berlaku agar tiada salah faham berlaku,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.
Terdahulu, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku ini berkongsi satu hantaran di Instagram dan memberi amaran kepada semua pihak terutama keluarga, kenalan dan rakan industri untuk tidak terpedaya dengan tindakan seorang individu yang menyamar sebagai ibunya menerusi hantaran mesej di telefon.
Selain itu, kata pelakon kelahiran Pulau Pinang ini, perkara yang berlaku juga dikhuatiri boleh mengganggu urusan kerja seninya.
“Semua orang tahu, ibu juga merupakan pengurus saya. Boleh terganggu urusan kerja jika individu terus-menerus menggunakan nombor ibu untuk tujuan buruk. Zaman sekarang mungkin ramai tahu mengenai gejala scam, tetapi saya percaya, ada juga yang tak tahu.
“Sesiapa yang kenal pasti tahu ibu saya bukan jenis terdesak minta duit orang. Tengok nombor akaun yang diberikan pun tahu itu bukan milik ibu. Tolonglah hentikan amalan scam orang ini, kasihan pada golongan warga emas yang biasanya mudah jadi sasaran,” katanya.
Dalam pada itu, Wafariena menasihatkan, mana-mana pihak yang dibelenggu masalah hutang sama ada dengan bank, ah long mahupun pinjaman dengan kaum keluarga agar menyelesaikan masalah tersebut dengan berhemah.
“Selesaikanlah sendiri, pergilah buat laporan polis, tak payahlah nak jual nombor orang lain untuk ambil kesempatan seperti ini. Jangan menyusahkan orang. Saya ini pun dalam berhati-hati tetap terkena.
“Jadi bayangkan orang yang tidak buat pemeriksaan sekuriti di telefon bimbit, orang tua misalnya yang tak berapa pandai nak guna teknologi. Kasihan sangat,” katanya. – UTUSAN










