Hanya mampu meraung lihat rumah terbakar - Utusan Malaysia

Hanya mampu meraung lihat rumah terbakar

ZINAL NAHMAN (tiga dari kiri) menerima kunjungan Fauziah Misri (kanan) dan Syed Ben Bella Al Habshee yang melihat rumah sewanya di Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi yang musnah terbakar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI:  Seorang lelaki hanya mampu meraung melihat api marak membakar rumah sewanya di Felda Air Tawar 5, dekat sini petang semalam.

Zinal Nahman, 57,  yang baru menetap di situ kira-kira empat bulan mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang rakan peniaga ketika dia dan isteri serta dua anak mereka sedang berniaga air di bazar Ramadan di Felda berkenaan kira-kira pukul 4.30 petang.

“Saya tidak pernah menangis meraung seperti semalam. Melihat rumah sewa dibakar sampai api tiada di depan mata. Orang ramai turut menahan saya agar tidak meluru ke dalam rumah.

“Dalam rumah banyak barang kami, tambahan pula anak bongsu, Alia Syafiqa, 15, masih bersekolah. Kami tinggal sehelai sepinggang, yang ada kini hanya balang air,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Pengerang, Syed Ben Bella Al Habshee, hari ini.

Bapa kepada tiga orang anak itu bernasib baik kerana Alia Syafiqa yang biasanya tinggal di rumah mengikutnya berniaga semalam.

“Kebetulan seorang pembantu tidak bekerja dan saya ajak dia bantu di bazar. Mujur dia ikut kami berniaga, kalau tidak saya boleh jadi tidak waras dengan apa yang berlaku. Semalam juga perasaan saya rasa seperti lain macam seolah-olah mahu bawa semua barang bersama berniaga. 

“Seperti motosikal selalunya saya tinggal dirumah hanya guna kereta sahaja untuk berniaga tetapi tergerak mahu bawa semalam, jika tidak sudah pasti turut sama musnah.

“Tambahan pula ketika kejadian tiada orang di rumah. Seorang lagi anak bekerja. Memang tidak sempat selamatkan apa-apa, termasuk sebuah motosikal milik anak yang rosak disimpan di dalam rumah turut hangus dalam kejadian itu,” katanya.

Difahamkan kebakaran itu berpunca akibat panahan petir selepas jiran mangsa mendakwa melihat kilat menyambar sebelum terdengar bunyi letupan disusuli kebakaran di rumah mangsa.

Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Khairul Sufian Dahari berkata, seramai 20 anggota termasuk dari BBP Kota Tinggi dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

“Selain rumah yang musnah 90 peratus, turut terbakar sebuah motosikal jenis Honda RS terbakar 95 peratus. Namun insiden tidak melibatkan sebarang mangsa dan kemalangan jiwa” κatanya sambil memberitahu punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan serta operasi tamat pukul 6.38 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.