Halang tugas polis, lelaki dipenjara tiga bulan - Utusan Malaysia

Halang tugas polis, lelaki dipenjara tiga bulan

S. Kannadasasan (dua dari kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Bahau hari ini selepas didakwa kerana menghalang tugas polis dalam kejadian pada 8 Mac lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Padah kerana menghalang tugas polis, seorang pemandu van dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda sebanyak RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini.

Tertuduh, S. Kannadasasan, 45, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, pada 8 Mac lalu kira-kira pukul 10.10 pagi di tepi jalan kawasan Ladang Bahau, tertuduh telah dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu pegawai polis dari menjalankan fungsi awamnya sekali gus didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, selepas kemalangan maut di jalan perkampungan Palong 4,5,6, pemandu van tersebut telah melarikan diri ke arah Palong 7,8.  Setibanya di simpang Palong 6,9 suspek telah berselisih dengan anggota Balai Polis Rompin yang ketika itu sedang membuat rondaan. 

Atas hebahan maklumat, anggota polis itu bersama kereta peronda telah mengejar kenderaan tertuduh dan mengarahkannya berhenti.

Tertuduh bagaimanapun enggan mematuhi arahan polis lalu terus memecut kenderaannya sehingga van tertuduh berjaya dipintas berhampiran Ladang Bahau. 

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie dalam hujahannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran.

Jelasnya, ia bukan hanya kepada tertuduh bahkan kepada orang awam yang lain supaya menghormati penjawat awam dalam menjalankan tugas.

Tertuduh yang diwakili Noor Azizi Abdull Aziz dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) pula memohon hanya hukuman denda dikenakan terhadapnya.

Ia dengan alasan dirinya mempunyai tiga orang anak dan itu merupakan kesalahan pertamanya selain memaklumkan ketika kejadian dia berada dalam ketakutan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya