SEGAMAT: Gurauan seorang pelatih guru terkena renjatan elektrik rupa-rupanya menjadi kenyataan apabila dia meninggal dunia akibat kejadian serupa ketika misi bantuan pasca banjir, di sini kelmarin.
Menurut Sitti Ruhaidah Sampon, 43, anak saudaranya Saiful Asraf Mukhtar Saiful Khair, 21, ada menghantar mesej dalam aplikasi WhatsApp keluarga menyatakan gurauan tersebut.
“Pada 23 Februari bulan lepas, dia ada menghantar gambar dalam WhatsApp keluarga dengan keadaan rambutnya yang keriting, seolah-olah seperti mi segera. Kami bertanya kenapa rambutnya begitu.
“Dia membalas dengan gurauan, ‘kena electric shock’ sambil meletakkan emoticon ketawa dan kami anggap ia gurauan biasa, namun, apabila menerima perkhabaran tentang pemergiannya dua hari lalu, kami sebak teringat kembali gurauannya itu. Gurauannya menjadi kenyataan pada akhir hayatnya pada 12 Mac, iaitu 17 hari selepas dia menyatakan mengenai renjatan elektrik itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sitti Ruhaidah memberitahu, anak saudaranya itu tidak menunjukkan sebarang sikap aneh, malah dia seorang yang ceria.
“Saiful seorang anak yang sangat baik, taat, ringan tulang, rajin ke masjid, sentiasa tersenyum dan sangat suka melakukan kerja amal. Dia sering membantu ibu saya (neneknya) menguruskan program mengurut refleksologi orang buta oleh Persatuan Orang Buta Tawau (POBT) ketika balik cuti semester. Neneknya merupakan Pengerusi POBT tersebut.
“Saiful ada membuat panggilan pada awal Februari lalu untuk meminta pendapat mengenai pengisian aktiviti pada akhir sesi persekolahan. Komitmennya terhadap tugasan yang diberi sangat tinggi dan kita kehilangan bakal guru yang berjiwa pendidik sejati,” katanya dalam nada sebak.
Kali terakhir ahli keluarga mereka bertemu Saiful pada majlis perkahwinan sepupu kepada ibu saudaranya itu pada 18 Februari lalu di Kuala Lumpur.
Saiful yang merupakan anak sulung daripada empat beradik dijangka menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 2025.
Jenazah Saiful akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Nibong, Kampung Brunei, Membakut, Sabah berdekatan pusara ibunya yang meninggal dunia pada 2018.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan Saiful terkena renjatan elektrik ketika menggunakan penyembur air sewaktu melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh, di sini. – UTUSAN