Garis panduan kawasan berisiko sudah siap - KPKT

Garis panduan kawasan berisiko sudah siap – KPKT

NGA Kor Ming (tengah) menyerahkan peralatan sebagai gimik pelancaran Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) Peringkat negeri Kelantan di Pantai Senok, Bachok, Kelantan hari ini.-UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah menyiapkan garis panduan untuk semua kawasan berisiko tinggi di seluruh negara.

Menterinya Nga Kor Ming berkata,  garis panduan itu melibatkan kawasan cerun bukit, air terjun, tepi sungai termasuk tapak perkhemahan.

Menurutnya, garisan panduan tersebut bertujuan mengelakkan insiden yang berlaku di Batang Kali, Selangor sebelum ini kembali berulang.

“Saya harap semua pihak dapat mematuhi garis panduan yang di tetapkan oleh KPKT.

“Tujuan utama KPKT supaya tidak ada lagi kemalangan dan kematian di kawasan terbabit pada musim cuti sekolah atau musim perayaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) Peringkat negeri Kelantan di Pantai Senok, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kor Ming memberitahu, KPKT akan  memperkasakan pasukan khas milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

Katanya, pemerkasaan itu melibatkan perolehan aset-aset kebombaan untuk tugasan penyelamatan di air.

“Ia melibatkan perolehan 100 unit set ‘Swift Water Rescue’ bagi kegunaan latihan di akademi JBPM, enam unit ‘Fire Boat’ serta 150 unit bot berserta aksesori penyelamatan komuniti. Selain itu, kita akan memperluaskan pengambilan lebih ramai anggota pasukan bomba bantuan (PBB) ‘Safety Water and Rescue’ (SWART) di negeri berisiko banjir serta catatan kadar kes lemas yang tinggi.

“Pada masa, KPKT akan menaikkan elaun menyelamat di air kepada 100 peratus berkuatkuasa serta merta. Sebelum ini anggota menerima RM100 sehari dan imbuhan baharu menjadi RM200 sehari ketika menjalankan tugas menyelamat dan latihan PPDA,” ujarnya.

Kor Ming berkata, statistik tahun lalu yang dikeluarkan oleh JBPM merekodkan seramai 255 orang terkorban akibat lemas.

Katanya, walaupun  berlaku penurunan sebanyak 17 peratus berbanding tahun sebelumnya namun semua pihak termasuk penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat perlu mengambil serius perkara tersebut.-UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN