KUALA LUMPUR: Kemelut Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin dan bekas isterinya Emilia Hanafi dijangka berakhir apabila kedua-dua pihak bersetuju berunding secara serius bagi mencapai penyelesaian global melibatkan kes jenayah dan tuntutan di Mahkamah Syariah.
S.M Faisal kini dibicarakan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Emilia manakala kes syariah melibatkan tuntutan mutaah dan harta sepencarian pasangan itu.
Ketika prosiding di hadapan Majistret Nadia Othman semalam, Nazri Yahya selaku peguam pemerhati bagi Emilia (pengadu kes) memaklumkan, kedua-dua pihak berhasrat berunding secara serius untuk menyelesaikan kes melibatkan pertuduhan terhadap S.M. Faisal.
Beliau memohon perbicaraaan ditangguhkan manakala status rundingan perbincangan akan dimaklumkan kepada mahkamah pada 30 Mac ini.
Sementara itu, seorang peguam mewakili S.M. Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader mengesahkan beliau dihubungi peguam pemerhati dan juga peguam syarie yang mewakili Emilia berhubung penyelesaian global.

Nadia menetapkan 30 Mac ini bagi perkembangan proses rundingan dan jika tiada penyelesaian, mahkamah akan mendengar keterangan Emilia.
Mahkamah sepatutnya menyambung keterangan Emilia semalam sebagai saksi pendakwaan ketujuh dengan membacakan pernyataan bertulisnya.
Mengikut pertuduhan, S.M Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields, antara pukul 12.30 tengah hari dan 4.30 petang, pada 22 November 2015.
Sementara itu, Akberdin ketika ditemui berkata, pihaknya bersedia mempertimbang untuk menyelesaikannya termasuk kes di Mahkamah Syariah.
“Pihak kami terbuka untuk berbincang kerana kes ini telah berlarutan dan kami mahu ia ditamatkan segera,’’ kata Akberdin.
Dalam pada itu, Nazri turut menyatakan, pihaknya akan mengadakan rundingan secepat mungkin bagi membincangkan terma-terma penyelesaian yang turut melibatkan penyelesaian global bagi kes-kes syariah.
Kata beliau, pihaknya akan memohon agar semua prosiding di Mahkamah Syariah ditangguhkan sementara bagi membolehkan pihak-pihak dapat memberi tumpuan kepada inisiatif ke arah penyelesaian global.- UTUSAN










