[DUN] Cadang tubuh Jawatankuasa Pengurusan Banjir - Utusan Malaysia

[DUN] Cadang tubuh Jawatankuasa Pengurusan Banjir

BEBERAPA orang mangsa banjir bergotong-royong memasak di SK Sri Pandan yang dijadikan PPS di Parit Raja, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri bercadang menubuhkan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir bagi mencari jalan menangani isu tersebut pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata,  jawatankuasa itu akan dianggotai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan semua parti politik di negeri ini dan cadangan tersebut dapat diluluskan pada sidang DUN kali ini.

“Mengikut Fasal 32(8) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Johor, kerajaan negeri akan mengemukakan satu rundingan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir semasa sidang DUN ini.

“Adalah diharapkan supaya rundingan ini akan disokong sebulat suara oleh semua ahli Yang Berhormat yang berada di dalam dewan ini,” katanya menjawab soalan tambahan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya) pada sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Mengenai tempoh jangka masa keberkesanan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang sedang dan akan dilaksanakan di negeri ini, Onn Hafiz melahirkan kerisauannya kerana banjir besar yang melanda baru-baru ini disebabkan taburan hujan luar biasa, iaitu untuk kapasiti sebulan berlaku dalam masa sehari.

“Dari segi RTB yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan tempoh keberkesanannya dianggarkan dalam tempoh 50 tahun. Jika kita tengok tempoh RTB itu, saya risau sebenarnya sama ada ia mencukupi menebat banjir dalam tempoh panjang.

“Itulah sebabnya kerajaan Johor cadangkan jawatankuasa perubahan iklim diwujudkan supaya kita dapat perhalusi projek RTB yang lebih berkesan seperti yang dibangunkan di negara maju,” katanya.

Dalam pada itu, situasi banjir di negeri ini menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa yang masih mendiami pusat pemindahan sementara (PPS) di Batu Pahat dan Segamat kian berkurangan, iaitu seramai 16,939 orang setakat pukul 12 tengah hari ini.

Jumlah itu terus menunjukkan pengurangan berbanding seramai 17,125 mangsa yang direkodkan pada pukul 8 pagi tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya