Dugaan hari pertama Ramadan, rumah didiami sekeluarga terbakar - Utusan Malaysia

Dugaan hari pertama Ramadan, rumah didiami sekeluarga terbakar

ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja pemadaman dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Persiaran Rajawali, Taman Paroi Jaya di Seremban, petang tadi.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hari pertama Ramadan menguji sebuah keluarga apabila mereka tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Taman Paroi Jaya di sini petang tadi.

Penghuninya, Norhashimah Hashim, 62, berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah yang disewa sejak 10 tahun itu sebelum terhidu bau seperti api.

“Ketika kejadian, saya sudah selesai memasak rendang dan menonton televisyen di ruang tamu. Selepas itu saya terbau api dan dalam sekelip mata berlaku letupan dari bahagian belakang dapur dan api terus menyambar langsir rumah. 

“Saya segera keluar sebelum ada orang awam yang berada di sekitar membantu mengeluarkan dua buah kereta kepunyaan anak saya. Bagaimanapun sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda tidak sempat dibawa keluar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi kejadian.

Dia menambah, ketika kejadian suaminya pergi ke masjid untuk menunaikan solat Asar.

“Memang sedih kerana tidak dapat selamatkan barang-barang yang lain keluar dengan sehelai sepinggang sahaja. Saya memang mengambil cuti hari ini sempena hari pertama Ramadan bagi memasak juadah berbuka puasa untuk keluarga,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, kejadian itu melibatkan sebuah rumah jenis dua tingkat di Persiaran Rajawali, Taman Paroi Jaya yang terbakar 80 peratus.

“Pihak bomba menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian pada pukul 4.58 petang tadi. Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kembar semi D dengan keluasan 40X70 kaki persegi. 

“Pihak bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman manakala punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.