Dua lelaki didenda pasang iklan pinjaman wang tanpa lesen - Utusan Malaysia

Dua lelaki didenda pasang iklan pinjaman wang tanpa lesen

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan memasang iklan berkaitan pinjaman berkenaan, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh iaitu pemandu lori, S.Navinraj, 22, dan pekerja bengkel besi buruk, A. John Bosco, 22, dijatuhi hukuman itu selepas mereka membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh. 

Mahkamah menetapkan sekiranya gagal membayar denda, mereka boleh dipenjara selama dua bulan. 

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa telah membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan menjalankan kegiatan memasang iklan berkaitan pinjaman wang tanpa lesen. 

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 1.50 tengah hari di Jalan Haruan 4/9, Oakland di sini, pada 22 Februari lalu. 

Sehubungan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29AA(1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya. 

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ardelliza Izmaryanti Shafie yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk denda yang paling minimum dengan mengambil kira pengakuan mereka. 

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi. 

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Seremban bersama anggota anggota unit kereta peronda (MPV) menahan dua lelaki yang disyaki sedang menjalankan pemasangan kain rentang (banner) iklan pinjaman wang tanpa lesen. 

Hasil pemeriksaan badan dan kereta dinaiki dua lelaki itu menemui tiga telefon bimbit, 60 iklan pinjaman wang dan satu tukul. -UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya