Dasar Perfileman Negara diteliti, tarik lebih produksi luar - Fahmi - Utusan Malaysia

Dasar Perfileman Negara diteliti, tarik lebih produksi luar – Fahmi

KETUA Pembangunan Perniagaan Iskandar Malaysia Studio, Catherine Lee memberi penerangan kepada Fahmi Fadzi (kiri) ketika mengadakan lawatan ke Iskandar Malaysia Studio, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kementerian Komunikasi dan Digital bersedia meneliti Dasar Perfileman Negara dalam usaha mengembangkan lagi bidang perfileman, sekali gus  menarik lebih banyak kemasukan produksi luar.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan turut melibatkan beberapa kementerian lain serta agensi yang berkaitan dengan Industri seni tersebut.

“Dasar Perfileman Negara ini adalah meluas, ada beberapa perkara yang khusus bagi industri ini akan diberikan tumpuan.

“Insya-Allah, kita akan adakan satu sesi ‘town hall’ dan sesi pertemuan dengan rakan-rakan dalam bidang perfileman termasuk pelakon, kru dan sebagainya pada Khamis ini untuk memahami kekangan dan cabaran yang boleh kita lakukan untuk segerakan perkembangan ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Iskandar Malaysia Studio, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman. 

Ditanya tentang kemungkinan pihak kementerian akan melonggarkan syarat dikenakan kepada pihak produksi luar ketika membuat penggambaran di negara ini, Fahmi berkata, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu kerana syarat sedia ada memang terpakai bagi syarikat produksi yang mahu membuat penggambaran di Malaysia.

“Jadi, kita kena seimbangkan keperluan dan kesesuaian undang-undang sedia ada dan perlu cari jalan ke depan. InsyaAllah, saya sedia untuk mendengar apa yang perlu kita teliti dan buat keputusan kemudian.

“Banyak perkara (tidak membuat penggambaran) di sini, kadangkala isu kewangan di pihak produksi dan beberapa faktor lain, tak semestinya isu itu datang daripada pihak kita. 

“Saya percaya, kita membuka ruang untuk menerima kehadiran mana-mana pihak produksi dari luar yang mampu memberi nilai tambah seperti meningkatkan kepakaran tempatan selain memberi limpahan bagi ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN