Bot Perikanan PL87 ditemukan, empat kru selamat - Utusan Malaysia

Bot Perikanan PL87 ditemukan, empat kru selamat

NURUL HIZAM ZAKARIA menunjukkan lokasi terakhir Bot PL87 dilaporkan hilang sebelum ditemukan semula di Pulau Kepalajerih, Batam, Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI – Bot milik Jabatan Perikanan Negeri Johor, PL87 yang dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Pengkalan Tampoi semalam ditemukan di Pulau Kepalajerih di Kepulauan Batam, Indonesia pada 1.45 petang tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua empat kru tersebut ditemukan dalam keadaan selamat.

Menurutnya, bot yang dilaporkan hilang itu mengalami kerosakan enjin sebelum dihanyutkan arus sejauh 13 batu nautika sehingga memasuki perairan Indonesia.

“Bot PL87 itu ditemukan oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI) pada pukul 1.45 petang tadi di kedudukan satu batu nautika di perairan Pulau Kepalajerih. Ketika ditemukan, keempat-empat kru berada dalam keadaan selamat dan bot dinaiki mereka mengalami kerosakan bateri hingga terputus komunikasi.

“Mereka kini berada di Indonesia, urusan membawa pulang semua mangsa sedang dijalankan antara Maritim Malaysia dengan TNI yang kita jangka dapat diselesaikan pada hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di Jeti Maritim Sungai Pulai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri Johor, Zainudin Abd. Wahab.

Terdahulu, media melaporkan sebuah bot Perikanan PL87 hilang ketika dalam perjalanan ke Pengkalan Tampoi dari Tanjung Pengelih pada pukul 12.45 tengah hari, semalam.

Empat kru berkenaan ialah Fatimah Razak, 36, Zaharin Baharudin, 33, Abdul Halim Sanim, 52 dan Marzuki Jusuh, 53.

Nurul Hizam berkata, bot berkenaan masih di perairan Indonesia dan pihaknya sedang melakukan urusan membawa pulang semua mangsa dengan kerjasama TNI.

“Bot PL87 kini dalam proses dibaik pulih, jika ia boleh dibaiki, mereka akan menaiki bot itu bergerak sendiri dengan diiringi TNI sebelum diserahkan kepada kita. Kita berharap semua urusan membawa pulang bot PL87 dan mangsa dapat diselesaikan hari ini dan proses serahan dijangka dibuat di perairan Johor Barat.

“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada TNI, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Republik Indonesia dan Singapore Police Coast Guard (SPCG) yang turut membantu dalam operasi Carilamat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN