Belanja sakan hasil curi lapan tabung derma - Utusan Malaysia

Belanja sakan hasil curi lapan tabung derma

AHMAD ZAMRY MARINSAH (tengah) menunjukkan lapan tabung derma yang dicuri oleh seorang lelaki dari beberapa premis perniagaan di sekitar Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam lima kejadian melarikan lapan tabung derma di beberapa premis perniagaan di sini sejak 4 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, suspek berusia 51 tahun itu ditahan di Jalan Aji di sini kira-kira pukul 3 pagi, semalam.

“Kecurian lapan tabung masjid, surau dan anak yatim dan pembinaan pusat tahfiz berkenaan dilaporkan sejak 4 Januari hingga 20 Mac lalu. Lima pemilik premis mendapati tabung plastik yang diletakkan di atas kaunter sudah tiada keesokan harinya dan terus memaklumkan kepada pihak polis.

“Pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran menunjukkan seorang individu disyaki lelaki mengambil dan membawa pergi tabung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis turut merampas beg galas hitam, sebilah pisau ala rambo dan wang tunai sebanyak RM300 dan siasatan juga menjumpai lapan tabung yang dicuri dibawa pulang di kediamannya.

Ahmad Zamry berkata, suspek mengaku mencuri tabung berkenaan dan menggunakan wang tersebut untuk berhibur, menghadiahkan minyak wangi berjenama untuk beberapa individu dipercayai teman wanitanya, membeli sebuah motosikal, membeli makanan dan menambah nilai telefon bimbit.

“Kita juga mendapati suspek memecah mangga pintu lima premis berkenaan sebelum mengambil, membuka wang tabung menggunakan pisau ala rambo dan sebahagian tabung dibawa pulang ke rumahnya,” katanya.

Suspek yang masih bujang serta tidak mempunyai pekerjaan tetap itu direman selama tujuh hari hingga 27 Mac ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya