TAMPIN: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di daerah ini kira-kira pukul 1.54 petang tadi susulan hujan berterusan sejak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Mohd. Fadhil Hassan berkata, PPS berkenaan dibuka di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Felda Jelai 4, Gemas di sini.
“Buat masa ini, hujan masih lagi berterusan dan semua agensi telah bersiap sedia di kawasan lapangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Razeaf Zamri berkata, PPS berkenaan dibuka selepas air banjir mula memasuki rumah penduduk.
“Setakat ini, sebanyak empat keluarga melibatkan seramai 29 orang mangsa telah mula mendaftar di PPS berkenaan,” katanya.
Sementara itu, paras air beberapa batang sungai juga menunjukkan trend meningkat termasuk Sungai Kelamah, Sungai Jelai 4, Sungai Kampung Kurnia Diraja, Sungai Kampung Londah dan Sungai Kampung Bangkahulu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam pada itu berkata, kerajaan negeri telah mengaktifkan pusat kawalan strategik dan operasi, Negeri Sembilan Command Center (NeSCOM) susulan kejadian banjir berkenaan.-UTUSAN.