Banjir Pahang menurun, 3,014 mangsa di 21 PPS - Utusan Malaysia

Banjir Pahang menurun, 3,014 mangsa di 21 PPS

ANGGOTA bomba dan petugas banjir menguruskan penghantaran bantuan bekalan makanan untuk mangsa yang terputus hubungan di tiga buah kampung di Rompin, Pahang. - FOTO/IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun apabila 3,014 orang daripada 857 buah keluarga masih ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah sehingga pukul 8 malam ini.

Berbanding pada pukul 4 petang hari ini, seramai 3,073 mangsa daripada 883 buah keluarga ditempatkan di 21 buah PPS di tiga daerah, iaitu Rompin, Maran dan Temerloh.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, sehingga pukul 8 malam ini, Rompin mengekalkan jumlah mangsa paling tinggi seramai 2,759 orang daripada 788 buah keluarga di 19 buah PPS.

“Temerloh daerah kedua melibatkan seramai 226 orang mangsa daripada 63 buah keluarga masih berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan.

“Maran sehingga malam ini tidak ada pemindahan masih mengekalkan jumlah mangsa 29 orang daripada enam buah keluarga ditempatkan di PPS balai raya Kampung Baru Pertanian,” katanya dalam kenyataan pada pukul 8 malam hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Che Adam berkata, tiga batang sungai di negeri menunjukkan amaran bahaya, iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran merekodkan aras 19.41 meter, diikuti Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan (10.70 meter) dan Sungai Keratong di Jambatan Bahau, Keratong, Rompin (24.95 meter).

“Dua batang sungai utama di Bera menunjukkan tahap waspada dan tren menurun, manakala empat batang sungai di Temerloh, Maran dan Kuantan pada tahap amaran dalam juga keadaan tren menurun,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, berasaskan laporan Jabatan Meteorologi melaporkan hujan lebat turun sepanjang hari mulai petang hari ini hingga ke malam esok di 11 buah daerah negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya