Banjir: Mangsa meningkat 1,375 di 26 PPS lima daerah Pahang - Utusan Malaysia

Banjir: Mangsa meningkat 1,375 di 26 PPS lima daerah Pahang

BEBERAPA buah rumah di tanah rancangan Felda Kota Gelanggi Satu dan Tiga dilimpahi air banjir melibatkan mangsa berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Satu di Jerantut, Pahang. - FOTO /IHSAN APM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 1,375 orang mangsa banjir daripada 374 buah keluarga ditempatkan di 26 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di lima buah daerah di negeri ini sehingga pukul 8 pagi hari ini.

Jumlah itu meningkat berbanding 1,320 orang mangsa daripada 359 buah keluarga yang ditempatkan di 25 buah PPS yang dilaporkan oleh Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana Negeri pada pukul 1 pagi hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, Rompin mencatatkan jumlah mangsa yang berpindah paling ramai, iaitu 627 orang mangsa daripada 196 buah keluarga ditempatkan di sembilan buah PPS, diikuti Maran seramai 489 orang mangsa daripada 124 buah keluarga di lapan buah PPS.

“Pemindahan juga melibatkan 94 mangsa daripada 18 buah keluarga di sebuah PPS Jerantut, diikuti Pekan seramai 88 orang mangsa, 18 buah keluarga di dua buah PPS.

“Seramai 22 orang mangsa daripada tujuh buah keluarga masih ditempatkan di enam buah PPS di Raub, manakala sebuah PPS, iaitu balai raya Kampung Kuala Keloi sudah ditutup pukul 9.30 pagi ini apabila seramai 11 orang mangsa (6 keluarga) pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Che Adam berkata, empat batang sungai, iaitu Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut menunjukkan paras bahaya dan tren menaik dengan merekodkan aras 58.28 meter, diikuti Sungai Belat di Seri Damai, Kuantan (5.06 meter), serta dua batang sungai di Rompin, iaitu Sungai Pukin (47.41 meter) dan Sungai Keratong di Jambatan Bahau, Keratong (26.38 meter).

“Lima batang sungai utama lagi di Lipis, Raub, Maran dan Kuantan menunjukkan aras amaran dan tren menaik diikuti tujuh batang sungai di Jerantut, Bera dan Kuantan pada tahap waspada dan tren menaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya