BATU PAHAT: Seorang warga emas di Kampung Parit Lapis Bangas, Sri Medan dekat sini menganggap banjir yang berlaku umpama mengimbas kembali kenangan mengharungi banjir besar yang melanda kediamannya pada tahun 1970.
Walau bagaimanapun, Painah Hidol, 71, mengaku banjir yang berlaku 53 tahun lalu itu tidak seburuk kali ini apabila ruang atas kediamannya turut terjejas.
“Kawasan di sini bukannya tak pernah dilanda banjir selepas itu, ada juga namun hanya pada paras betis atau lutut, tidak seperti sekarang cukup dalam.
“Sebelum ini paling teruk tahun 1970, iaitu banjir berkenaan memakan masa hampir dua bulan untuk surut sepenuhnya.
“Namun, saya dan keluarga bernasib baik kerana mempunyai bahagian rumah yang lebih tinggi dan tak terkesan dengan banjir meskipun kedalaman air pada waktu itu hampir dua meter,” katanya.
Painah kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Jamek Kampung Parit Lapis Bangas, di sini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid mengadakan lawatan ke PPS berkenaan selain mengagihkan barang bantuan.
PPS tersebut turut terputus hubungan apabila perlu menaiki bot selama sejam untuk sampai ke lokasi itu. – UTUSAN