Bah Johor: 40,141 mangsa di 202 PPS - Utusan Malaysia

Bah Johor: 40,141 mangsa di 202 PPS

KEADAAN Masjid Jamek Pekan Sri Medan, Batu Pahat yang dinaiki air banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di negeri ini tidak menunjukkan banyak perubahan apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di 202 pusat pemindahan sementara (PPS) seramai 40,141 orang  daripada 11,468 keluarga setakat pukul 8 pagi ini.

Jumlah itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 40,008 mangsa yang ditempatkan di 200 PPS pada pukul 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, lapan daerah masih terjejas akibat banjir dengan Batu Pahat menempatkan paling ramai mangsa seramai 27,774 orang.

“Ini diikuti daerah Muar dengan 4,080 mangsa, Tangkak (2,536), Segamat (2,034), Kluang (1,310), Kota Tinggi (1,138), Mersing (1,162) dan Pontian (107).

“Daerah Kulai dan Johor Bahru yang sebelum ini turut terjejas kembali pulih apabila kesemua PPS yang dibuka di dua daerah berkenaan telah ditutup,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Azmi memberitahu, jumlah mangsa yang maut akibat banjir kekal lima orang.

Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menunjukkan tiada sebarang amaran hujan berterusan dan ribut petir dikeluarkan di seluruh negeri ini membabitkan kesemua 10 daerah.

Sebanyak 10 sungai di tiga daerah masih diletakkan di bawah kategori paras air berbahaya, antaranya Sungai Muar, Sungai Bekok, Sungai Batu Pahat dan Sungai Sembrong.

Sebanyak 40 laluan dan susur masih ditutup untuk semua jenis kenderaan, antaranya Jalan Bekok, Jalan Senai-Gemas, Jalan Sungai Mati-Bukit Serampang, Jalan Panchor, Jalan Kuala Paya-Balai Badang, Jalan Kampung Liang Batu dan Jalan Semaloi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN