ATM terima peruntukan RM10 juta beli aset hadapi banjir - Utusan Malaysia

ATM terima peruntukan RM10 juta beli aset hadapi banjir

MOHAMAD HASAN menyampaikan bantuan selimut serta keperluan harian kepada mangsa banjir di PPS SK Temenggong Abdul Rahman (STAR), Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kerajaan meluluskan peruntukan sekali beri sebanyak RM10 juta kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membeli aset dan persediaan menghadapi bencana banjir pada masa akan datang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peruntukan tersebut diluluskan dalam mesyuarat Kabinet semalam.

“Antara aset bakal dibeli ialah bot getah yang boleh memudahkan usaha menyelamat mangsa banjir terperangkap, terutamanya di kawasan cetek dan lori tujuh tan.

“Sekarang ini ATM menggunakan bot tempur dan kita memerlukan bot getah yang digunakan komando dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Ini adalah persediaan untuk kita menghadapi ancaman bukan tradisi dan melengkapkan aset dalam memberi bantuan menyelamat dalam situasi seperti ini (banjir),” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman (STAR), di sini hari ini.

Beliau berkata, pandangan daripada pihak berkaitan termasuk ATM akan diambil kira bagi mengenal pasti keperluan pembelian aset menghadapi banjir dan penempatan aset di beberapa negeri yang kerap menghadapi banjir seperti Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Katanya, seramai 1,500 anggota tentera dikerah bagi membantu mangsa banjir di Johor melibatkan aset sebanyak 28 bot, lapan lori dan 25 trak termasuk pasukan Kor Perubatan ATM, Kor Jurutera Diraja ATM dan bahagian teknikal.

Susulan kejadian banjir teruk di Johor, pihak ATM turut menghantar anggota tentera laut buat pertama kali bagi membantu mangsa banjir bersama agensi kerajaan lain, katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad memaklumkan, pembinaan jambatan bailey di jalan utama ke Felda Selancar, Rompin, Pahang akan disiapkan dalam tempoh terdekat.

“Sekarang ini (jambatan) akan dipasang dan Kor Jurutera ATM bersedia membantu Jabatan Kerja Raya dalam sehari dua boleh siap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya