Anggota polis dituduh minta rasuah RM1,000 direman seminggu - Utusan Malaysia

Anggota polis dituduh minta rasuah RM1,000 direman seminggu

SEORANG anggota polis (tengah) direman tujuh hari bagi membantu siasatan tuduhan meminta rasuah di Mahkamah Majistret Temerloh di Temerloh, Pahang.

TEMERLOH: Seorang pegawai polis direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan tuduhan meminta rasuah berjumlah RM1,000, bulan lalu.

Suspek dipercayai meminta suapan terhadap pengadu bagi memastikan tiada tindakan seterusnya yang akan diambil terhadap anak pengadu berhubung kesalahan menggunakan bahan terlarang iaitu ketum.

Majistret Tan Chiew King membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang untuk menahan reman individu berkenaan.

Perintah itu diberikan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Suspek yang berusia 35 tahun itu merupakan anggota polis di Bahagian Narkotik bertugas di salah sebuah Ibu pejabat polis (IPD) di negeri ini.

Lelaki terbabit ditahan pada pukul 11.15 malam semalam di Pejabat SPRM Cawangan Temerloh.

Terdahulu, suspek tiba di mahkamah pukul 11.40 pagi dengan berpakaian lokap dan tangan bergari diiringi pegawai SPRM. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN