Anak bongsu lakukan transfusi darah demi selamatkan ayah - Utusan Malaysia

Anak bongsu lakukan transfusi darah demi selamatkan ayah

ZAINAL KAMARDIN (kanan) menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan daripada Zaid Zain di kediamannya di Flat Sagu 34, Taman Daya, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Demi kasih, seorang anak sanggup melakukan transfusi darah bagi menyelamatkan nyawa ayahnya yang menghidap penyakit leukemia.

Muhammad Syamil Zainal, 20, yang merupakan pelatih Sijil Penyelenggaraan Elektrik di Kolej Kemahiran Johor dijadualkan akan menjalani prosedur berkenaan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini untuk memastikan ayahnya, Zainal Kamardin, 60, dapat kembali sihat.

“Ayah disahkan menghidap leukemia sejak Oktober tahun lalu dan pihak hospital mahu ambil sampel darah adik beradiknya, namun tidak boleh kerana mereka juga tidak berapa sihat. Jadi, mereka perlu ambil sampel anak lelaki dan ketika ini saya seorang berada di sini bersamanya, seorang abang merupakan askar dan sukar untuk balik.

“Pihak hospital maklumkan sesuai untuk saya buat transfusi darah, saya setuju dan perkara ini akan dibuat lepas raya di Kuala Lumpur. Harapan saya, ayah kembali sihat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Flat Sagu 34, Taman Daya, di sini.

Sementara itu, Zainal memberitahu, keadaan kesihatannya merosot sejak beberapa tahun lalu sebelum disahkan menghidap leukemia selepas pemeriksaan kesihatan menyeluruh dibuat pihak hospital.

“Saya kini sudah tidak boleh bekerja dan hanya bergantung dengan ubat-ubatan yang diberi,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu bas kilang dengan pendapatan RM3,000 sebulan.

Kini, keluarganya terpaksa bergantung dengan duit simpanan, manakala isterinya, Khamsah Yusof, 56, berniaga kuih secara kecil-kecilan sempena sambutan Aidilfitri ini.

Nasib  keluarga itu mendapat perhatian Kolej Kemahiran Johor yang menjengah mereka bagi menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai.

Menurut Pengurus Korporat dan Tugas-Tugas Khas Kolej Kemahiran Johor, Zaid Zain, pihak kolej prihatin dengan nasib menimpa keluarga tersebut.

“Kita menyantuni keluarga ini dengan menyampaikan barangan keperluan asas dan sumbangan wang tunai daripada kakitangan kolej dan pihak swasta untuk membantu keluarga ini. Kita turut sampaikan sumbangan serupa kepada dua lagi pelatih yang kematian ibu mereka baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya