KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berpandangan usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘dalam masa terdekat’ sesuatu yang dibolehkan kerana negara mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.
Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan, beliau tidak melangkaui titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan sebuah kerajaan stabil dan mengekalkan kerajaan pimpinan Anwar sehingga habis penggal kerana ia bukan sesuatu yang ‘mengikat’ dan menghalang perubahan.
Justeru, beliau mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa kerajaan Persekutuan ditadbir Anwar akan ‘tumbang dalam masa terdekat’ selain berhak merancang aktiviti untuk menjatuhkan kerajaan.
“Itu (kenyataan saya sebelum ini) adalah satu kenyataan politik yang biasa berlaku dalam politik (seperti) undi tidak percaya, dapatkan akuan bersumpah, menyokong kerajaan berpaling tadah. Biasa berlakulah.
“Dan kita melihat ada tanda-tanda menunjukkan di dalam kerajaan campuran yang ada ini perasaan tidak puas hati sesama parti komponen dia sendiri. Itu ada berlaku, sebab itu sesuatu yang tidak mustahil berlaku (kerajaan tumbang).
“Kenyataan Agong satu kenyataan yang tidak jadi kata putus yang menghalang untuk perubahan dalam negara demokrasi. Mengikut Raja-Raja berperlembagaan, Raja di bawah Perlembagaan. Perlembagaan kita masih menjunjung demokrasi.
“Memang kita berhak merancang (tumbangkan kerajaan), tiada siapa yang boleh menghalang,” katanya ketika ditemui pemberita di ruang legar bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya jika kenyataan ‘tumbang dalam masa terdekat’ membuktikan adanya usaha pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan melalui pelbagai cara, sekaligus membawa kepada PN mentadbir kerajaan Persekutuan semula.
“Itu biasa dalam negara demokrasi, kita berusaha (tumbangkan kerajaan) bukan sahaja melalui pilihan raya umum, termasuk juga Parlimen,” katanya lagi.
Baru-baru ini, media melaporkan, Abdul Hadi menjangkakan bahawa kerajaan sekarang akan tumbang tidak lama lagi.
Berucap pada sesi Dialog Ulama Negarawan: Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini anjuran Yayasan Permata Ummah di Kuala Lumpur, beliau bagaimanapun tidak menyebut berdasarkan faktor apa jangkaan tersebut dibuat.
“Orang tanya bila berlaku ini. Ini ramalan. Insya-Allah, (akan berlaku) dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN










