SEREMBAN: Jumlah mangsa banjir di Negeri Sembilan yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencatatkan penurunan kepada 869 orang setakat pukul 4 petang.
Dua buah PPS di daerah Kuala Pilah yang menempatkan seramai 62 orang mangsa sebelum ini iaitu PPS Dewan Desa Dangi dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pilah telah pun ditutup.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kol. (PA) Mohd. Nazri Mes Kam berkata, daerah Tampin masih mencatatkan bilangan mangsa tertinggi di PPS iaitu seramai 706 orang.
“PPS SK Sungai Kelamah setakat ini masih menempatkan seramai 538 orang mangsa banjir diikuti 67 orang mangsa di PPS Sekolah Agama Rakyat (SAR) Felda Jelai 4 dan PPS SK Gedok seramai 24 orang mangsa banjir.
“Seramai enam orang mangsa masih berada di PPS Balai Raya Pasir Besar, 10 orang di PPS SK Londah dan seramai 46 orang ditempatkan di PPS Dewan Besar Gemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, seramai 163 orang mangsa banjir daripada 22 buah keluarga masih lagi berada di empat buah PPS yang dibuka di daerah Jempol.
PPS berkenaan adalah di SK Rompin, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sialang, SK Palong 7 dan SK Palong 1.-UTUSAN.