JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat mendadak menjadi 6,694 mangsa daripada 1,847 keluarga setakat pukul 2 petang ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, semua mangsa kini ditempatkan di 63 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah yang terjejas, iaitu Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian dan Kulai.
Menurutnya, jumlah itu meningkat berbanding 2,162 mangsa daripada 581 keluarga di 25 PPS yang direkodkan pada pukul 9 pagi.
“Daerah terjejas teruk setakat ini ialah Segamat membabitkan 2,071 mangsa daripada 639 keluarga di 23 PPS, diikuti Kluang dengan 1,952 mangsa daripada 518 keluarga di 10 PPS.
“Sementara itu, Kota Tinggi merekodkan 1,315 mangsa daripada 307 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS, manakala di Johor Bahru seramai 1,004 mangsa daripada 296 keluarga di sembilan PPS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azmi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, seramai 320 penduduk daripada 80 keluarga di Kulai dipindahkan di lima PPS, manakala di Pontian membabitkan 19 penduduk daripada empat keluarga di sebuah PPS dan di Mersing melibatkan 13 mangsa daripada tiga keluarga di dua PPS.
Setakat ini, dua PPS, iaitu Balai Raya Taman Melati di Kluang dan Dewan Kampung Melayu Batu 10 di Johor Bahru telah ditutup.
Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menunjukkan seluruh negeri ini di bawah amaran bahaya, iaitu hujan sangat lebat berterusan yang dijangka berlaku hingga esok.
“Beberapa sungai di negeri ini berada pada paras bahaya, iaitu Sungai Segamat, Sungai Labis dan Sungai Lenik di Segamat; Sungai Kahang (Kluang), Sungai Sayong, Sungai Skudai dan Sungai Pontian Besar (Kulai). Turut berada pada tahap bahaya ialah Sungai Pulai (Pontian), Sungai Skudai (Johor Bahru), Sungai Johor (Kota Tinggi), Sungai Bekok (Batu Pahat) dan Sungai Tangkak dan Sungai Kesang (Tangkak).
“Setakat ini, sebanyak 16 jalan ditutup disebabkan banjir, iaitu lima jalan di Kota Tinggi, empat di Kluang dan masing-masing dua di Segamat, Mersing dan Kulai dan sebatang jalan di Batu Pahat,” katanya sambil memberitahu susur Jalan Masai Lama Seksyen 21, Johor Bahru ditutup disebabkan tanah runtuh. – UTUSAN