50 buah khemah bazar Ramadan di Nilai rosak akibat angin kuat - Utusan Malaysia

50 buah khemah bazar Ramadan di Nilai rosak akibat angin kuat

SEBAHAGIAN khemah bazar Ramadan yang rosak akibat hujan lebat dan angin kuat petang yang berlaku di Nilai, Seremban, petang semalam.

SEREMBAN: Dugaan awal Ramadan bagi peniaga dan penganjur di bazar Ramadan di Nilai di sini apabila lebih 50 buah khemah mereka rosak akibat hujan lebat serta angin kuat yang berlaku petang semalam.

Seorang penganjur bazar Ramadan, Syed Alwi Syed Jaafar, 42, berkata, dia terpaksa menanggung kerugiaan kira-kira RM4,000 apabila 17 khemah miliknya rosak dan menganggap itu sebagai dugaan kecil dalam meniaga.

“Jika tahun lalu peniaga diuji seminggu sebelum Aidilfitri tetapi kali ini pada hari pertama Ramadan. Saya terpaksa menahan kaki khemah kerana angin terlalu kuat dan agak menakutkan,” katanya di sini semalam.

Syed Alwi berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang melibatkan 17 buah khemah di bazar Ramadan berhadapan pasar raya Lotus dan 35 buah khemah lagi terletak bersebelahan McDonald’s lama Bandar Baru Nilai di sini.

Bagaimanapun, Syed Alwi berkata, beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan walaupun ketika itu kebanyakan peniaga sudah berada di lokasi untuk bersiap sedia memulakan perniagaan.

“Syukurlah hujan lebat beserta ribut itu hanya berlaku lebih kurang setengah jam dan selepas itu para peniaga meneruskan operasi perniagaan mereka.

“Ia ujian buat kami sebagai penganjur kerana tahun ini pertama kali kami sediakan khemah, tetapi daripada 72 khemah, 17 telah rosak,” katanya.

Jelas Syed Alwi, kesedihan mereka menghadapi ujian itu terubat apabila melihat kehadiran pengunjung yang agak ramai pada hari pertama Ramadan.-UTUSAN.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`; the status code is `404` and content-type is `text/html; charset=iso-8859-1`