Warga emas lelaki OKU rentung kebakaran rumah di Karak - Utusan Malaysia

Warga emas lelaki OKU rentung kebakaran rumah di Karak

ANGGOTA bomba dan penyelamat melakukan penugasan pemadaman sebuah rumah yang didiami warga emas orang kurang upaya (OKU) di Kampung Paya Pelantar, Karak di Bentong, Pahang. - FOTO/IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Seorang warga emas lelaki berstatus orang kelainan upaya (OKU) rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Paya Pelantar, Karak di sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam, mangsa, Mohd. Yusof Idris, 64, dipercayai tinggal bersendirian di rumah berkenaan.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai 17 orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak dan BBP Bentong dibantu dua buah jentera pemadam dan sebuah ambulans EMRS bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan pada pukul 9.02 malam.

“Setiba di tempat kejadian 16 minit kemudian, anggota bomba mengesahkan sebuah rumah binaan separuh kekal berkeluasan kira-kira 6 x 18 meter sudah pun hampir 90 peratus musnah dan terus melakukan penugasan pemadaman dengan menggunakan dua aliran ‘hose’ air.

“Kita dimaklumkan seorang penghuni, iaitu warga emas berstatus OKU berada dalam rumah dan setelah pemeriksaan di tempat kejadian selepas kebakaran berjaya dikawal pada pukul 9.27 malam, mangsa ditemukan rentung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ismail, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, operasi tersebut turut disertai seramai empat orang anggota polis dan tiga orang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Ujarnya, anggota daripada BBP Karak dan BBP Bentong berjaya mengawal kebakaran dan kemudiannya memantau keselamatan sebelum pulang ke balai bomba masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya