Wang simpanan guru RM58,200 lesap ditipu sindiket Macau Scam - Utusan Malaysia

Wang simpanan guru RM58,200 lesap ditipu sindiket Macau Scam

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang guru di sini hilang hampir keseluruhan wang simpanan berjumlah RM58,200 akibat terpedaya dengan taktik panggilan palsu Macau Scam yang mendakwanya terlibat pengedaran barang terlarang.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan mendapati, guru berusia 53 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar wakil syarikat penghantaran barang.

“Mangsa diberitahu kononnya terlibat dalam pengedaran barang terlarang dan penggubahan wang haram sebelum talian itu disambungkan kepada pegawai polis.

“Berdasarkan perbualan mangsa dengan suspek, mangsa tanpa berfikir panjang menyerahkan kata laluan perbankan internet empat bank miliknya dengan alasan memudahkan siasatan polis dan Bank Negara.

“Dalam pada itu, mangsa juga telah menyerahkan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) yang diterimanya kepada suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Ramli berkata, mangsa turut diarahkan suspek supaya tidak membuka perbankan internet dalam tempoh masa 24 jam.

Katanya, mangsa mula sedar setelah menyemak baki akaun bank miliknya dan terdapat transaksi pengeluaran wang ke akaun pihak ketiga.

“Justeru itu, orang ramai dinasihatkan jangan mendedahkan butir-butir perbankan kepada pihak ketiga atau ahli sindiket kerana jika didapati bersubahat, pemilik akaun boleh dituduh di Mahkamah Jenayah dan berkemungkinan dihadapkan dengan tuntutan sivil.

“Selain itu turut diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya