KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) memeterai kerjasama dengan Bosch Rexroth Sdn. Bhd. (Bosch Rexroth) bagi memperkukuh hubungan universiti-industri dalam aktiviti pembangunan kurikulum.
Kerjasama itu melibatkan latihan industri, pertukaran pelajar dan tawaran kursus pembelajaran yang ditambahbaik dengan menjadikan modul latihan industri 4.0 berasaskan pensijilan dari Jerman sebagai rujukan.
Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, kerjasama terbabit melibatkan penempatan pelajar amali dengan penggunaan peralatan di Malaysia dan luar negara.
Selain itu katanya, ia turut melibatkan program pensijilan kepada pelajar khususnya dalam program Sarjana Muda Teknologi, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dan Sarjana Muda Kejuruteraan.
“UMP sebagai sebuah institusi Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang bercirikan teknologi dan kejuruteraan sentiasa beraspirasi untuk menjadi lebih berdaya saing di peringkat global.
“Justeru kami mengalu-alukan jalinan kerjasama dengan rakan industri dalam membangunkan program dan aktiviti yang disepakati untuk manfaat bersama,” katanya selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Bosch Rexroth Malaysia, Darren Chan Chon Hoe di UMP Pekan di sini.
Tambah Yuserrie, kerjasama strategik terbabit seiring dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 dalam melahirkan graduan holistik dan bakat tempatan dengan modul latihan komprehensif yang diiktiraf di seluruh dunia serta disesuaikan untuk menangani cabaran industri 4.0 (IR 4.0).
“Pelajar UMP bakal menimba pengalaman secara langsung dalam peralatan automasi industri dan ini akan menambah nilai kepada graduan UMP, terutamanya dalam pasaran kerja yang kompetitif masa kini,” katanya. – UTUSAN










