JOHOR BAHRU: UMNO menafikan bahawa parti itu ‘pak turut’ dalam kerajaan perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa setiap keputusan yang dibuat kerajaan perpaduan telah disepakati selepas dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Justeru, menurutnya, tidak timbul soal UMNO hanya sekadar pelengkap kuota kerajaan perpaduan seperti dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Sudah tentu apa sahaja yang dicapai bergantung dengan perbincangan dan persetujuan bersama. Lainlah kalau UMNO menang pilihan raya lalu dengan majoriti, baharu kita boleh buat sesuka kita, tetapi hakikatnya tidak dan kita bukan parti yang menang banyak tetapi salah sebuah parti yang bentuk kerajaan.
“Kalau nak kata UMNO jadi pak turut, ia tidak benar sama sekali kerana semua keputusan dibuat kerajaan adalah hasil perbincangan bersama,” katanya ditemui selepas merasmikan Pusat Jahitan Komuniti Tasek 64 di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, dekat sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO boleh menyalurkan pandangan terhadap pentadbiran kerajaan perpaduan menerusi saluran parti dan bukannya menerusi media.
Sebelum ini, Ismail Sabri mendedahkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri, kepimpinan UMNO memberi tekanan kepadanya seolah-olah beliau bukan Perdana Menteri daripada UMNO. – UTUSAN










