Tular video lelaki disamun selepas keluar bank, rugi RM150,000 - Utusan Malaysia

Tular video lelaki disamun selepas keluar bank, rugi RM150,000

MANGSA terbaring dipercayai diketuk oleh suspek menggunakan topi keledar sebelum bertindak menyamun wang yang baharu dikeluarkan dalam kejadian pada 14 Februari lalu di sebuah bank di Jalan Beserah di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang lelaki dipercayai kerugian sehingga RM150,000 dalam kejadian samun berhadapan sebuah bank di Jalan Beserah kira-kira pukul 2.40 petang, semalam.

Susulan kejadian tersebut, tular sebuah video di laman media sosial memaparkan kejadian terbabit yang menunjukkan seorang lelaki terbaring di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pihak polis mengesahkan kejadian tersebut menerusi video yang tular berdurasi 29 minit 51 saat itu.

Menurutnya, mangsa yang berusia 41 tahun itu disamun setelah keluar daripada bank berkenaan.

“Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menerima panggilan daripada orang awam sekitar pukul 2.40 petang memaklumkan berlaku kejadian samun di hadapan bangunan sebuah bank di Jalan Beserah, Kuantan.

“Siasatan awal polis, pada pukul kira-kira 2.15 petang semalam, mangsa disamun oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal ketika berada di hadapan bangunan bank tersebut.

“Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan diketuk menggunakan topi keledar lalu terjatuh hingga terbaring atas jalan dan suspek telah melarikan wang yang baru dikeluarkan oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Mohd. Zahari berkata, pihak polis masih berusaha mengesan suspek dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana boleh mengganggu siasatan.

“Kes disiasat di bawah seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan maklumat ke IPD Kuantan di talian 095652222 atau mana-mana balai berdekatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya