PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan menyatakan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak menukar peguam baharu dalam rayuan akhir kes SRC International Sdn. Bhd. sebelum djatuhkan hukuman sebagai sesuatu ‘serba tidak kena’.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram ketika berhujah berkata, ini kerana Najib ibarat “changing horses in midstream” (menukar haluan) di tengah-tengah perjalanan rayuan akhirnya ketika di Mahkamah Persekutuan.
“Mengapa Najib yang diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dari peringkat Mahkamah Tinggi kes SRC International pada 2018…tiba-tiba menukar peguam pada 2022 sebelum pendengaran rayuan di hadapan Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lepas.
“Walaupun terdapat hak (tertuduh) untuk memilih peguam namun peguam juga perlu bersedia untuk bertindak serta bersedia selain bertindak pada hari tertentu…sebenarnya mereka (pihak Najib) tidak mahu meneruskan kes itu (rayuan), sebab itu mereka mahu penangguhan,” kata Sithambaram pada prosiding permohonan semakan Najib terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun dan denda RM210 juta berhubung dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. pada Ogos tahun lalu.
Menjawab persoalan itu, Muhammad Shafee membidas pendakwaan dengan mengatakan tindakan menukar peguam adalah kali pertama dilakukan dalam kes Najib dan ia dilakukan dengan niat baik (bona fide).
Beliau berkata, sebenarnya pertukaran peguam itu adalah disebabkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak membenarkan Queen’s Counsel (QC), dari United Kingdom Jonathan Laidlaw untuk diterima masuk ke Badan Peguam dan mewakili Najib dalam rayuan akhirnya.
“Oleh itu, tiada agenda untuk membuat penangguhan,” kata Muhammad Shafee.
MENAMATKAN
Pada 25 Julai 2022, Najib menamatkan perkhidmatan Muhammad Shafee dan firma guamannya, Tetuan Shafee & Co. sebelum melantik firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) bagi menggantikan fima terbabit.
Tindakan Najib menukar barisan peguamnya dilakukan kurang tiga minggu dari tarikh pendengaran rayuan akhir yang bermula pada 15 Ogos 2022.
Tindakan itu dibuat selepas permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk mendapatkan khidmat Jonathan Laidlaw sebagai salah seorang peguamnya dalam rayuan akhirnya ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam prosiding itu, semakan didengar oleh Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.
Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Pendengaran semakan itu bersambung lagi esok.- UTUSAN