Syarikat telekomunikasi boleh tawar pakej internet lebih murah - Fahmi - Utusan Malaysia

Syarikat telekomunikasi boleh tawar pakej internet lebih murah – Fahmi

FAHMI Fadzil
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan internet mampu menawarkan harga pakej  berpatutan, sama seperti  Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap hanya RM69 sebulan bagi kelajuan 30 Mbps.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan menyediakan pangkalan data bagi memberi kemudahan kepada syarikat telekomunikasi untuk membuat rujukan dan menentukan mereka yang layak untuk menikmati kemudahan pakej berkenaan.

Menurut beliau, pakej berkenaan disasarkan bagi membantu golongan B40, namun syarikat telekomunikasi juga boleh menawarkan pakej tersebut  kepada golongan M40 jika terdapat keperluan.

“Kita juga melebarkan pakej ini kepada warga emas, orang kurang upaya dan veteran, jadi mereka juga akan dapat dibantu.

“Jadi, saya harap syarikat telekomunikasi akan teliti suara rakyat, pelanggan dan sesuaikan produk masing-masing untuk membantu rakyat pada waktu ini,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk di Lembah Pantai hari ini.

RENDAH

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap dengan harga lebih rendah bagi membantu golongan B40, veteran, orang kurang upaya serta warga emas.

Perkhidmatan itu disediakan dengan kelajuan 30 Mbps bersama data tanpa had dengan caj hanya RM69 sebulan serta kontrak langganan selama 24 bulan.

Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih turut diumumkan pada harga dua kali ganda lebih murah iaitu RM5 sebulan dan tiga kali lebih pantas yang berada di pasaran mulai bulan ini.

Jelas Fahmi, kadar harga itu adalah garis asas bagi syarikat telekomunikasi dalam menyediakan perkhidmatan berkenaan kepada pelanggan.

“Sekiranya syarikat ingin memberi tawaran yang lebih baik ia terpulang kepada mereka, tapi waktu ini baseline kita ialah RM69 sebulan untuk jalur lebar tetap dan RM5 sebulan untuk prabayar internet mudah alih.

“Saya harap syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan internet jalur lebar, akan meneliti respons rakyat dan memberi pakej lebih baik,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya