KOTA TINGGI: Seorang suri rumah maut apabila kereta dinaikinya merempuh sebuah lori membawa muatan buah kelapa sawit di Felda Semenchu, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.07 malam itu mangsa, Rosnah Tumiran, 43, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan tersebut yang melibatkan Perodua Alza dan sebuah lori menyebabkan penumpang wanita kereta berkenaan maut.
“Mangsa merupakan suri rumah yang tinggal di Felda Air Tawar 4, disahkan maut akibat kecederaan parah.
“Ketika kejadian, mangsa bersama suami dan anak perempuan mereka berusia 17 tahun dalam perjalanan dari rumah di Felda Air Tawar 4 menghala ke Felda Semenchu.
“Punca kemalangan disyaki pemandu Perodua Alza gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar bahagian belakang lori jenis Daihatsu yang berada di hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, seramai lapan anggot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I KUP Izwani Abd. Hamid berkata, pihaknya mengeluarkan mangsa yang tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan perubatan di lokasi.
“Dua lagi mangsa, iaitu Mohd. Amin Senien, 44, dan Nur Faqihah Mohd. Amin, 17, yang cedera telah dihantar ke hospital bagi menerima rawatan,” katanta sambil memberitahu operasi tamat pukul 10.18 malam. – UTUSAN