KUALA SELANGOR: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menambah baik kemudahan kesihatan di negeri ini terutamanya memendekan masa menunggu pesakit dan memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, dengan penduduk lebih tujuh juta, kemudahan kesihatan di Selangor perlu ditambah.
“Rakyat ketika ini terpaksa menunggu lama di bahagian kecemasan kospital sebelum dimasukkan ke dalam wad kerana terlalu ramai pesakit.
“Masa menunggu untuk pembedahan dan rawatan lanjut juga mengambil masa berbulan-bulan.
“Oleh itu, beta memohon agar kelengkapan hospital dan klinik kesihatan diutamakan manakala jumlah doktor serta jururawat harus ditambah,” titah baginda ketika sempena perasmian Hospital Tanjong Karang di sini semalam.
Selain itu, titah baginda, perkhidmatan kesihatan di hospital-hospital juga perlu mempunyai sistem pengurusan baik dan cekap.
“Ini juga menjurus kepada penyelenggaraan hospital supaya peralatan dan infrastruktur sentiasa dalam keadaan baik untuk memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat,” titah baginda. – UTUSAN









