Suami isteri warga Indonesia aktif pecah cermin kereta dan curi ditahan - Utusan Malaysia

Suami isteri warga Indonesia aktif pecah cermin kereta dan curi ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sepasang suami isteri warga Indonesia yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan pecah cermin kereta dan curi di sekitar Seremban dan Kajang, Selangor berjaya ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, suspek lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 30 tahun itu ditahan lebih kurang pukul 1 pagi dalam Op Pecah Kereta di daerah ini.

“Di dalam operasi berkenaan, pihak polis telah berjaya menahan dan menangkap seorang lelaki dan seorang perempuan warganegara Indonesia yang terlibat di dalam kes yang disiasat di Jalan Reko, Kajang. 

“Kedua-dua suspek juga telah menunjukkan barang-barang yang dicuri di dalam kes yang terlibat serta beberapa barang bernilai seperti jam tangan dan komputer riba telah dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanda berkata, hasil siasatan mendapati pasangan suami isteri itu terlibat di dalam tujuh kes pecah kereta di dalam daerah Seremban bagi tahun 2023.

“Suspek bertindak memecah cermin kereta dengan menggunakan alatan tajam yang diletakkan di kawasan sunyi,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini sedang ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 20 Februari 2023 dan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.

“Kesalahan itu memperuntukan hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya