Sad tukang kasut bawa anak kecil cari rezeki - Utusan Malaysia

Sad tukang kasut bawa anak kecil cari rezeki

MAS IMRAN ADAM (kiri) membantu Muhammad Khairul Nizam yang mendukung anaknya, Muhammad Imam Nawawi memilih peralatan sekolah untuk dua lagi anaknya, Nur Khairina dan Muhammad Adam Putra di Pasaraya Econsave, Taman Desa Cemerlang, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itulah pepatah yang dapat menggambar perit jerih seorang bapa tunggal, Muhammad Khairul Nizam Mohd. Tamyis, 24,  yang terpaksa membawa dua anak lelakinya yang berusia tiga dan enam tahun ketika mencari rezeki sebagai tukang kasut jalanan di hadapan sebuah bank di Taman Johor Jaya, di sini sejak November tahun lalu.

Sepanjang tiga tahun mencari rezeki di kawasan itu, dia membawa anak-anaknya bersama kerana tidak mampu mengupah pengasuh atau menghantar mereka ke pusat jagaan kanak-kanak selain tidak mahu menyusahkan ibu bapanya. 

“Beginilah nasib tukang kasut, pendapatan tak menentu, adakalanya tidak ada pelanggan yang nak datang. Inilah kemahiran yang saya ada, dahulu ikut ayah menjadi tukang kasut di dalam pasar raya.

“Keadaan lebih mencabar ketika anak yang kecil menangis dan perlukan susu. Maka, saya terpaksa ke kedai makanan berhampiran untuk sediakan susu untuknya dan selepas tidurkan, barulah saya sambung kerja menjahit kasut pelanggan,” katanya ketika ditemui di Pasaraya Econsave Desa Cemerlang, di sini hari ini.

Keluarga tersebut yang dibawa membeli-belah di situ ditemani Pengurus Besar Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave), Mas Imran Adam.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 31 saat memaparkan seorang tukang kasut gigih membaiki kasut pelanggannya dan pada masa yang sama mendodoikan anak kecilnya 

Muhammad Khairul Nizam atau mesra disapa Sad yang bercerai sejak Mac tahun lalu memberitahu, dia tidak lagi membawa keempat-empat anaknya sejak bulan November tahun lalu setelah dua anak perempuannya dijaga oleh bekas isterinya di Bandar Baru Uda, di sini.

“Pendapatan harian saya tak tetap, adakalanya boleh mencecah RM100 sehari, namun saya tetap bersyukur dengan apa yang ada. Sebelum ini, pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mahu membantu termasuk memindahkan saya ke premis lebih selesa, namun saya terpaksa menolak tawaran itu kerana bimbang kehilangan pelanggan,” katanya sambil berharap MAINJ dapat mempertimbangkan permohonan bantuan sara hidup untuk menyara empat anaknya yang masih kecil.

Dia dan anak-anaknya kini tinggal bersama-sama ibu dan ayahnya di Taman Puteri Wangsa, di sini dengan ibunya menjual karipap di sekitar kawasan perumahan, manakala bapanya bekerja sebagai tukang kasut di sebuah pasar raya di Taman Johor Jaya.

Sementara itu, Mas Imran berkata, Econsave menyumbangkan pelbagai barangan keperluan asas termasuk susu dan peralatan sekolah bernilai RM1,000 kepada keluarga tersebut bagi meringankan beban mereka.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Muhammad Khairul Nizam menerusi talian 011-70071316 atau menyalurkan sumbangan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya bernombor 7641916668. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya