Ramai lagi ahli Pejuang mahu tinggalkan parti

Ramai lagi ahli Pejuang mahu tinggalkan parti

Selepas Dr. Mahathir Mohamad, ramai lagi dikatakan mahu meninggalkan parti itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih ramai ahli parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bakal mengikuti jejak langkah pengasasnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan parti itu.

Menurut sumber parti itu kepada Utusan Malaysia, ia berpunca dua sebab iaitu majoriti ahli tidak mahu menyertai Pakatan Harapan (PH) dan kepemimpinan parti terlalu lambat menentukan hala tuju parti.

Katanya, Presiden parti, Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih tidak boleh membuat keputusan berhubung hala tuju parti selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 14 Januari lalu termasuk menentukan sama ada untuk bergerak solo atau menyertai gabungan parti Perikatan Nasional (PN) atau PH.

“Mukhriz tidak turun ke bawah berjumpa ahli-ahli akar umbi atau menyertai apa-apa program.

“Ketika AGM, kami semua setuju memberi mandat kepada Majlis Eksekutif Pusat dan Mukhriz untuk menentukan sama ada Pejuang bergerak solo, menyertai PN atau PH,” katanya di sini semalam.

Seramai 13 pemimpin Pejuang termasuk Dr. Mahathir kelmarin menghantar surat peletakan jawatan serta keahlian serta-merta kerana dikatakan tidak bersetuju dengan tindakan Pejuang keluar daripada Gerakan Tanah Air (GTA).

Dalam pada itu, sumber memberitahu, semua kepimpinan parti tahu kecenderungan Mukhriz adalah untuk menyertai PH.

Bagaimanapun, katanya, ramai dalam kalangan pemimpin berat hati untuk bersama PH kerana ia seolah-olah menyalahi perjuangan parti yang menentang DAP.

“Maka dicadangkan kalau betul mahu gabung, gabung dengan PN. Tetapi kalau kita mahu ke PN, Mukhriz dan empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pejuang akan sukar mempertahankan kerusi DUN masing masing di Kedah,” katanya.

Menurutnya, Ini kerana Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak Pejuang dan Sanusi Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor juga tidak begitu baik dengan Mukhriz.

“Jadi berlarutan masalah Pejuang sampai ke hari ini, Mukhriz masih tidak boleh bagi kami satu jawapan, satu hala tuju.
“Mahu bergerak solo jauh sekali, tidak ada kemampuan. Maka ahli sudah putus asa, itu yang ramai umum keluar parti,” katanya.

Beliau turut memberitahu pengumuman keluar parti tidak perlu menghantar surat kepada Setiausaha Agung, hanya cukup mengisytiharkan secara terbuka termasuk di media sosial dan secara automatik keahlian gugur mengikut perkara 10.2.2 Perlembagaan parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN