Pukul isteri guna topi keledar, buruh dipenjara 15 bulan

Pukul isteri guna topi keledar, buruh dipenjara 15 bulan

MOHD. Shamsuri Rokman Yusuf (tengah) dipenjara 15 bulan selepas memukul isterinya menggunakan topi keledar dalam kejadian di Gua Musang, Kelantan.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang buruh yang tergamak memukul isterinya menggunakan topi keledar minggu lalu, menerima balasan apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama 15 bulan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mohd. Shamsuri Rokman Yusuf, 35, mengaku bersalah terhadap pertuduhan ke atasnya di hadapan hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja memukul isterinya, Siti Norhashikin Che Mat, 35, menggunakan topi keledar pada bahagian kepalanya.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah kedai makan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2 di sini kira-kira pukul 5 petang pada 25 Januari lalu.

Mohd. Shamsuri didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ahmad Firdaus Abdul Hamid.

Terdahulu, Ahmad Firdaus dalam rayuannya memohon hukuman yang ringan terhadap tertuduh kerana perlu bekerja untuk menyara ibu dan lima orang anaknya.

Ahmad Faiz Fitri bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh atas kesalahan yang dilakukan olehnya.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara selama 15 bulan terhadap Mohd. Shamsuri bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 28 Januari lalu.

Utusan Online sebelum ini melaporkan, seorang lelaki yang memukul isterinya menggunakan topi keledar di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2 di sini diberkas polis.

Suspek berusia berusia 35 tahun yang bekerja sendiri itu ditahan pada pukul 2.30 petang dalam satu serbuan di sebuah rumah di RKT Kesedar Paloh 2.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

Terdahulu, tular rakaman video seorang wanita dimarahi, ditampar dan dipukul seorang lelaki menggunakan topi keledar di tepi jalan di media sosial Facebook dan TikTok.

Video berdurasi 1 minit 47 saat itu memaparkan seorang lelaki tidak dapat mengawal kemarahan apabila menampar muka, menolak sebelum memukul kepala seorang wanita menggunakan topi keledar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya