Program universiti kena ada elemen IT, digital

Program universiti kena ada elemen IT, digital

Kuota 30 peratus tertangguh terlalu lama hingga wujud cadangan mengenakan penalti bagi syarikat yang gagal mengotakannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurusan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara perlu menyemak semula program-program ditawarkan bagi mengatasi graduan menganggur selepas menamatkan pengajian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Raduan Che Ros berkata, semua kursus yang ditawarkan kepada pelajar baharu harus berbentuk kalis masa depan.

“Kalau dulu program dimasukkan aspek keusahawanan, maka kali ini boleh memasukkan aspek teknologi komunikasi maklumat (ICT) atau digital. Apa sahaja program, mesti ada elemen itu.

“Langkah itu perlu dilakukan oleh semua universiti untuk melihat semula program ditawarkan dan perlu diajak bersama industri untuk bincang apabila keperluan tenaga kerja pada masa depan,” kata beliau.

Menurut beliau, IPT tidak boleh lagi mengamalkan budaya hanya mengoperasi pusat-pusat pengajian tinggi dengan sekadar berpuas hati selepas memenuhi keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“IPT perlu lebih ke depan atau lebih serius untuk menawarkan program yang kekal relevan dengan permintaan tenaga buruh di pasaran dengan membuat diskusi bersama ahli akademik dan pemain industri,” katanya.

Mengulas lanjut, Raduan berkata, kerajaan juga perlu memberi reaksi segera terhadap kebimbangan bakal graduan dalam mendapatkan pekerjaan.

Katanya, ini kerana golongan itu merupakan sumber daya tenaga kerja peringkat atasan yang perlu digembleng dan digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan ekonomi negara.

“Sayang sebab guna tenaga sudah bersedia, jadi terpulang kepada kerajaan mahu respons bagaimana.

“Ini adalah masanya untuk gegar dan tingkatkan semula ekonomi kita, jadi kita mahu benar-benar menggunakan kepakaran daripada graduan yang ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, kebolehpasaran graduan menjadi isu lama kerana pelajar di negara ini dilihat kurang didedahkan dengan kemahiran tinggi.

Beliau berkata, ini berikutan pelajar terlalu terikat dengan pengajaran dalam bilik kuliah dan sistem berorientasikan peperiksaan sehingga kemahiran yang lain tidak diberi keutamaan.

“Bukan kata tidak penting, tetapi kena seimbangkan. Kalau dilihat di luar negara, usahkan bidang teknologi, tetapi pelajar bidang sastera pun tidak boleh menamatkan pengajian selagi mereka tidak pergi ke negara bahasa yang dipelajari itu,” katanya.

Beliau menambah, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga perlu memperkasakan program pemahiran semula dan peluang untuk mendapat latihan tempat kedua.

“Latihan tempat kedua lebih kepada alat dan ini tidak memerlukan bajet yang besar, tetapi kerjasama industri itu tidak dibuat secara berkesan.

“Kerajaan juga ada dasar program akademik secara mod Industri (2u2i) atau dua tahun di universiti dan dua tahun di industri, soalnya pelaksanaan dan saya ragui ia berjalan dengan baik.

“Cadangannya sudah ada, tetapi tak berjalan, balik semula kaedah lama apabila pelajar diberi latihan industri di tahun akhir semester yang lebih kepada memenuhi keperluan di universiti

“Apabila ada pengalaman luas di industri, kemungkinan bukan sahaja di dalam negara tetapi juga ada peluang di luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×