PASIR PUTEH: UMNO Kelantan akan mengadakan pertemuan bersama Pakatan Harapan (PH) dalam masa terdekat untuk membincangkan bentuk kerjasama antara kedua-dua parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangannya, Datuk Zawawi Othman berkata, pertemuan melibatkan pemimpin tertinggi kedua-dua parti di peringkat negeri itu akan turut merangka strategi menghadapi PRN.
“Kepimpinan pusat telah memberi tanggungjawab kepada kami (UMNO Kelantan) untuk mengetuai proses rundingan dan susun atur calon dari pada kedua-dua parti.
“Kami (UMNO Kelantan) akan bekerjasama, insya-Allah tiada isu perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berlaku antara kedua-dua parti,” katanya di sini semalam.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh itu berkata, UMNO sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini yang ditunjangi Pas.
Katanya, ketika ini Pas giat melancarkan kempen menyapu bersih semua 45 kerusi DUN.
“Adat berlawan, kita berlawan. Kita yakin pengundi dan akar umbi UMNO tetap setia serta faham dengan senario politik semasa termasuk keperluan aliran yang sama di antara kerajaan negeri dan pusat bagi kepentingan rakyat dan negeri.
“Saya akui, sudah tersebar cakap-cakap atau khabar angin berkait dengan senarai nama tokoh yang akan diangkat sebagai calon. Bagaimanapun ia bukan keputusan rasmi parti,” jelasnya. – UTUSAN










