KUALA LUMPUR: Kedah, Kelantan dan Terengganu diramal terus kekal di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Datuk Dr. Mohd Zainul Fithri Othman berkata, faktor itu dipengaruhi pola pengundi di ketiga-tiga negeri itu terutama luar bandar sukar dipecahkan dengan 80 peratus pengundi menyokong Pas.
“Sentimen gelombang hijau itu masih ada dan pola pemikiran rakyat di pedalaman sukar untuk diubah. Pas benar-benar akan memainkan peranan dari segi jentera untuk menang di negeri itu dan akan menjadi kelebihan buat PN menang di tiga negeri itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, bagi Pakatan Harapan (PH), rakyat akan menilai penghargaan yang diberi dari negara luar kepada Perdana Menteri dan ia boleh menjadi kelebihan.
“Bagaimanapun pengundi di pedalaman lebih cenderung kepada PN yang dilihat bersih, meskipun banyak isu yang kini sedang dipersoalkan. Contohnya isu dari mana datangnya wang yang banyak ketika pilihan raya umum lalu.
“Apabila mengadakan PRN lebih awal di tiga negeri itu dan PN masih dilihat mendominasi, maka PN ada kelebihan,” katanya.
Seorang lagi penganalisis politik, Profesor Dr. Jeniri Amir pula berkata, kemenangan di tiga buah negeri oleh PN itu nanti akan dibawa kekuatannya untuk menyerang pula tiga negeri di bawah PH.
“Sebab itu PN mempunyai strategi untuk mengadakan PRN lebih awal, mereka boleh fokus dan terus menyerang dengan sumber politik yang ada setelah memperoleh kemenangan di tiga PRN lalu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu,” katanya. – UTUSAN










