Polis buru suspek menyamar TMJ - Utusan Malaysia

Polis buru suspek menyamar TMJ

Deputi Komisioner M. Kumar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis sedang mengesan suspek yang mengaku sebagai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi meminta sejumlah bayaran untuk urusan perniagaan.

Suspek yang melakukan pengubahsuaian tangkap layar Instagram melalui ‘direct message’ dengan menggunakan akaun Hrhcrownprinceofjohor berjaya memperdayakan beberapa pihak dengan melakukan pembayaran bagi mendapatkan projek yang ditawarkan.

Walau bagaimanapun, amaun keseluruhan yang dipindahkan itu tidak didedahkan. 

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya telah  menerima laporan daripada pihak Media Istana Johor berkenaan satu tangkap layar Instagram melalui ‘direct message’ dengan menggunakan akaun Tunku Mahkota Johor pada pukul 2.35 petang tadi.

Tangkap layar tersebut memaparkan mesej suspek mengaku sebagai Tunku Ismail dan telah dihantar kepada beberapa pihak serta meminta sejumlah bayaran untuk urusan perniagaan.

“Siasatan awal yang dijalankan mendapati suspek telah menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor dengan cara melakukan pengubahsuaian pada tangkap layar yang digunakan untuk berkomunikasi dengan mangsa. 

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengubah dan menggunakan gambar profil serta akaun Instagram Tunku Mahkota Johor agar mangsa percaya mereka sedang berkomunikasi dengan Tunku Ismail.

“Setakat ini, dipercayai mesej itu telah diedarkan kepada lapan buah syarikat dan ada antaranya telah terpedaya dengan memasukkan sejumlah wang ke akaun yang diarahkan suspek untuk mendapatkan projek yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, pihak polis menyeru pihak yang telah menjadi mangsa untuk membuat  laporan supaya siasatan secara menyeluruh dapat dijalankan dan seterusnya mengenal pasti serta mengesan suspek yang terlibat. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan penyamaran yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan penipuan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dan membuat semakan terlebih dahulu mengenai maklumat dalam media sosial sebelum menjalankan sebarang urusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya