PN mahu kerajaan beri peruntukan tanpa mengira parti - Utusan Malaysia

PN mahu kerajaan beri peruntukan tanpa mengira parti

Pas Kerajaan
TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan bahawa peruntukan pembangunan akan diberikan kepada semua ahli-ahli parlimen seluruh negara merentasi parti, sebagaimana yang dilaksanakan kerajaan terdahulu. 

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jaminan itu penting kerana selaras dengan Tawaran Harapan yang dibuat Pakatan Harapan (PH) semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu peruntukan kawasan sama rata. 

“Sebelum ini peruntukan tersebut disalurkan terus kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen melalui Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

“PN mengharapkan Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengutamakan kepentingan rakyat dan mengurangkan unsur-unsur seumpama deraan serta balas dendam kepada pihak pembangkang yang menerima mandat yang sah dari rakyat melalui saluran demokrasi pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

TAWARAN HARAPAN

Dalam kenyataan sama, Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut memetik Tawaran Harapan yang memaklumkan, PH bakal menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti kerana mereka mewakili kepentingan rakyat di Kawasan itu. 

Selain itu, tawaran itu juga menyebut, peruntukan dana juga perlu disalurkan melalui parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Terdahulu, Takiyuddin berkata, PN memandang berat kenyataan Perdana Menteri yang mengesahkan peruntukan pembangunan kepada ahli-ahli parlimen akan dikurangkan pada tahun ini sebanyak 65 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Meskipun Kerajaan Persekutuan dikatakan mengambil langkah mengawal kewangan selaras dengan kedudukan dan kekangan ekonomi negara, namun peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui ahli parlimen yang memberikan manfaat dan faedah terus kepada rakyat tidak sepatutnya diganggu meskipun dikurangkan,” katanya. 

Semalam, media melaporkan, Anwar  mengesahkan peruntukan pembangunan untuk ahli parlimen bagi tahun ini dikurangkan dan akan diberi secara berperingkat sebagai sebahagian daripada langkah mengawal kewangan negara. 

Perdana Menteri berkata, pengurangan lebih 65 peratus iaitu daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta itu seperti dilaporkan media bagaimanapun akan dinilai semula apabila keadaan ekonomi dan kewangan negara bertambah baik pada masa hadapan.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara seperti projek-projek yang mendesak, surau rosak, jalan ataupun beberapa isu seperti mengorek sungai dan ada hal-hal yang penting tetap boleh dipertimbangkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya