Perebutan jawatan ketua di lima bahagian UMNO Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Perebutan jawatan ketua di lima bahagian UMNO Negeri Sembilan

umno
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lima daripada lapan bahagian UMNO di Negeri Sembilan menyaksikan berlakunya perebutan bagi jawatan Ketua UMNO bahagian. Bahagian tersebut adalah, Seremban, Kuala Pilah, Jempol, Port Dickson dan Rasah.

Tiga bahagian lain iaitu Rembau, Jelebu dan Tampin menyaksikan penyandangnya mempertahankan jawatan selepas masing-masing tidak dicabar dalam Pemilihan UMNO kali ini.

Utusan Malaysia difahamkan jawatan bagi Ketua UMNO Bahagian Jempol disaingi dua individu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapha Nagoor serta bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin.

Jawatan berkenaan sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif yang telah digantung keahlian parti selama enam tahun baru-baru ini.

Bagi UMNO Bahagian Seremban pula menyaksikan penyandangnya, Mustafa Salim yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri dicabar Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mazalan Ma’arop.

Turut menyaksikan perebutan bagi jawatan ketua adalah di UMNO Bahagian Kuala Pilah apabila penyandangnya yang juga ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim yang menerima saingan Naib Ketua UMNO Bahagiannya, Khairolnezam Shaari.

Di UMNO Bahagian Port Dickson pula, ADUN Bagan Pinang, Datuk Tun Hairuddin Abu Bakar mencabar Datuk Mohd. Faizal Ramli yang merupakan penyandang bagi jawatan Ketua UMNO bahagian.

Ketua UMNO Bahagian Rasah, Datuk Hasim Rusdi pula difahamkan akan berdepan dua orang lagi saingan bagi jawatan berkenaan termasuk salah seorangnya, bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Helmy Din.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan terus kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Rembau selepas menang tanpa bertanding manakala ADUN Kota, Datuk Seri Awaludin Said juga menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau selepas hanya satu borang pencalonan diterima untuk jawatan berkenaan.

Jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau sebelum ini disandang bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang dipecat dari UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa turut menang tanpa bertanding untuk jawatan masing-masing dalam pemilihan kali ini.

Masing-masing juga merupakan Ahli Parlimen Jelebu dan Ahli Parlimen Tampin.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya